Melalui Darat

Selain itu, Miri boleh dicapai/diakses melalui jalan darat dari Sabah melalui Bandar Seri Begawan, (Brunei) berturutan sehingga ke Baram dan Limbang serta dari Bintulu melalui Batu Niah dengan menggunakan Pan Borneo Highway. 

Perkhidmatan pengangkutan awam di Miri seperti bas awam, teksi, dan kereta sewa turut disediakan. Bas awam berhawa dingin dan biasa digunakan oleh penduduk tempatan dan orang asing untuk ke bahagian-bahagian Bandaraya Miri seperti Permyjaya, Tanjong Lobang, Bakam, Lutong, Pujut, Taman Tunku dan sebagainya. Bas-bas awam ini mempunyai kod tempat tersendiri yang selalunya dipamerkan di hadapan bas. Teksi selalunya digunakan untuk membawa pelancong dari Lapangan Terbang Antarabangsa Miri ke tempat penginapan.

Kereta sewa ditawarkan perkhidmatan oleh syarikat-syarikat tertentu untuk bersiar di sekitar bandaraya dan kenderaan persendirian prebet (private) digunakan untuk ke luar bandar, khususnya ke Bekenu dan Kuala Baram. Kod bagi kenderaan berdaftar di Miri ialah QM. 

Bandar Raya Miri mempunyai zon meletak kenderaan yang ditetapkan mengikut warna mewakili jam yang menggunakan sistem kupon letak kenderaan yang boleh didapati di pondok-pondok kupon dan permis-permis perniagaan yang mendaftar untuk menjual kupon letak kenderaan. Kupon ini hanya untuk kenderaan selain motosikal. 

Di samping itu, tempat letak kereta swasta (selalunya berdekatan dengan pusat beli-belah utama) dan persendirian turut ditawarkan sebagai alternatif dengan bayaran mengikut jam, harian dan bulanan pada kadar berpatutan. 

Tempat khusus untuk meletak motosikal turut disediakan Majlis Bandar Raya Miri (MCC) dengan palang besi untuk mengunci motosikal bagi tujuan keselamatan kenderaan tersebut semasa ketiadaan empunya.