Lalapan?

Lalapan? Bunyinya agak pelik malah mungkin asing bagi mereka yang tinggal di luar Miri. Tidak mustahil juga kalau ada yang beranggapan lalapan itu satu objek atau spesies binatang yang disebut secara dialek tempatan.

Bagaimanapun, segala tekaan itu sebenarnya salah kerana ia sejenis hidangan makanan yang istimewa, amat sedap dan begitu menyelerakan.

Itulah keistimewaan lalapan yang sebenarnya diadaptasi daripada selera penduduk Indonesia.

Di bandar raya Miri ini, sebut sahaja lalapan, pasti terbayang di benak para ‘kaki makan’ sebuah premis makanan bernama Restoran Muara yang menyajikan menu makanan sihat ini.

Pendek kata, lalapan dan Restoran Muara mempunyai kaitan yang menarik. Kedua-duanya menjadikan bandar raya Miri sebagai buah mulut di kalangan para peminat lalapan terutama mereka yang datang dari jauh.

Fakta ini sekali gus membuktikan Miri juga adalah sebuah tempat yang menarik untuk dikunjungi selain mempunyai beberapa destinasi pelancongan yang hebat.

Ia turut mempunyai beberapa lokasi menjamu selera yang begitu mengujakan dan salah satu daripadanya adalah Restoran Muara.

Terletak di tebing muara Sungai Miri, Restoran Muara yang dibuka pada Mac 2005 serta berkonsepkan restoran terbuka merupakan satu lokasi menarik untuk menjamu selera dan harus dikunjungi.


Selain menikmati pelbagai hidangan menyelerakan yang terdapat di Restoran Muara, para pelanggan juga berpeluang menyaksikan pemandangan laut yang indah dari tebing muara Sungai Miri serta kehijauan padang golf di Pulau Melayu yang berdekatan.

Pemandangan menjadi bertambah menarik dengan kehadiran para kaki pancing di waktu petang, ditambah beberapa buah kapal yang lalu-lalang dan ada juga yang berlabuh serta kegirangan sekumpulan kanak-kanak yang sering mandi di tebing muara sungai berkenaan pada waktu air surut.

Untuk menyingkap rahsia di sebalik populariti lalapan yang menjadi tarikan utama di Restoran Muara, penulis menemubual pemilik restoran, Susanti Abdullah, 44, yang merupakan pengasas menu lalapan versi Malaysia.
Menurut Susanti yang berasal dari Jawa Timur, menu lalapan memang berasal dari Indonesia namun diubah suai dengan selera masyarakat di sini.

“Kalau di Indonesia, lalapan sebenarnya tiada makna khusus manakala hidangan atau ramuannya hanya terdiri daripada kacang panjang dan timun mentah serta daun kemangi. Sementara sambalnya pula digoreng,” jelasnya.

Menurut ibu tunggal kepada tiga orang anak yang berusia antara lapan hingga 15 tahun ini, lalapan yang terdapat di sini mempunyai makna dan versi tersendiri yang dicipta hasil ideanya sendiri.

“Bila diamati perkataan lalapan, lahir satu idea yang mendorong saya untuk mengubah jumlah ramuannya daripada hanya empat di Indonesia kepada lapan yang terdiri daripada sama ada ikan; daging atau ayam; tauhu; tempe dan empat jenis ulam-ulaman,” katanya.

Menurutnya, perbezaan lalapan di sini dengan di Indonesia adalah sambalnya yang segar yang digelek dengan alat khas dikenali sebagai ‘cobek dan ulak-ulak’ yang dibawa khas dari Indonesia.
Semua ulam-ulamannya yang terdiri daripada pucuk ubi, kacang panjang dan kobis dicelur kecuali timun.
Satu lagi keistimewaan lalapan, katanya, ialah dihidangkan di atas sebuah pinggan yang diperbuat daripada tanah liat.

Tambah wanita gigih ini, rata-rata pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada penduduk tempatan mahupun yang datang dari Semenanjung pasti memesan hidangan lalapan ketika berada di Miri.

Walaupun sambalnya sepedas cili padi, lalapan tetap mendapat sambutan daripada para pelanggan kerana ia merupakan makanan sihat yang kaya dengan sumber protein dan serat serta sesuai dijadikan hidangan untuk makan tengah hari dan malam.

Selain lalapan, restoran itu turut menyajikan beberapa hidangan lain ala selera Indonesia dan juga tempatan seperti masak lemak, kerabu, ikan panggang, nasi tumpang, soto, bakso, pecal, empal, mee dan nasi goreng termasuk nasi goreng paha serta banyak lagi.

Susanti memberitahu, dalam memastikan setiap pelanggan mendapat kepuasan ketika menjamu selera di sini, beliau sentiasa mencipta menu atau resipi baru dan juga meningkatkan kualiti makanan terutama sambal lalapan.

Malah beliau turut mewujudkan satu laman web untuk memberi peluang kepada para pelanggan membuat sebarang komen secara keseluruhannya tentang makanan yang disajikan.

Sementara itu, seorang pelanggan setia yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal W, berkata, lalapan yang terdapat di restoran itu memang menjadi kegemaran beliau sejak ia mula diperkenalkan beberapa tahun lalu.
“Meskipun menyedari terdapat hidangan sama di beberapa kedai makan lain, namun lalapan Restoran Muara tetap menjadi kegemaran saya kerana rasa sambalnya yang sedap dan ringkas,” katanya.

Selain itu menurut Zainal, Restoran Muara turut menawarkan persekitaran dan pemandangan yang menarik serta mudah dikunjungi kerana kedudukannya yang strategik.